Sahabat
yang dihormati Allah, Ramadhan yang kita nanti-nantikan telah tiba untuk
sekali lagi kita berada di dalamnya. Ini tanda Allah masih sayang
kepada hamba-hambanya dengan memberi sekali lagi peluang untuk kita
bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini.
Berpuasa adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini.
Persoalannya; bagaimana tips-tips yang
diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah?
Mari kita telusuri satu persatu.Rasulullah S.A.W Bersahur
Rasulullah
menganjurkan kita untuk bersahur sebelum aktiviti menahan diri dari
makan dan minum di siang hari dimulakan. Bagaimana Rasulullah s.a.w
bersahur?
Bersahur bukanlah
dilakukan ditengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu
yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa.
Dari Anas Bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.(HR: al-Bukhari)
Rasulullah
s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia
adalah salah satu dari cirri-ciri bersahur orang Islam. Sabdanya:
bermaksud: Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur (HR: Muslim)
Rasulullah Menyegerakan Berbuka
Tidak
melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips berpuasa yang di
ajar oleh Rasulullah. Ini kerana, perbuatan itu sangat mendatangkan
kebaikan untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum.
Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa.(al-Bukhari & Muslim)
Perbuatan
melambat-lambatkan berbuka puasa adalah salah satu perbuatan yang
dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Masyarakat kita sering melihat perkara
ini sebagai satu isu remeh.
Apa yang
terjadi dalam rata-rata masyarakat kita di Malaysia, ketika masuknya
waktu solat maghrib (waktu untuk berbuka puasa), mereka masih lagi
berada di bazar-bazar ramadhan untuk membeli juadah mereka.
Penjual
masih lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka walaupun azan maghrib
telah berkumandang. Ibu-ibu di rumah pula masih berada di dapur
menyiapkan juadah berbuka puasa ketika azan maghrib bergema.
Ini kerana melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian.
Persiapan
seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah s.a.w untuk
kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya. Rasulullah telah bersabda di
dalam satu hadithnya yang dilaporkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang
sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h yang
bermaksud:
Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya.Berbuka dengan beberapa biji kurma
Antara
kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan
beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk memudahkan
dirinya bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang.
Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.
Ini adalah
sunnah Rasulullah s.a.w. Ramai diantara kita yang sering meninggalkan
sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum
sehingga kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib.
Rasulullah makan dengan beberapa biji kurma, kemudian bersolat. Apabila
Rasulullah s.a.w terasa lapar, Rasulullah s.a.w makan selepas baginda
solat.
Tidur Qailulah
Nabi s.a.w
mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa di siang
hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya.
Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah. Ini untuk memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan amal ibadat.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda;
Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam.
Apa yang
terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita, mereka tidak
menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah ini.
Mereka
terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya dengan tidur
sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja. Berpuasa
bukanlah bulan tidur kerana keletihan.
Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.
Menjaga Lidah
Terlalu
rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikit pahala dari
amalan tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara
faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak menjaga
lidah.
Mengumpat,
mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak
bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga dilakukan ketika
berpuasa.
Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun bukan pada bulan Ramadhan.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang diriwayat oleh Ahmad dan al-Tabarani yang bermaksud:
Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)
Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud:
Memberi Makan Orang Yang BerpuasaApabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata “Saya berpuasa”.
Antara
amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk meningkat
neraca kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta dengan
menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa.
Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah
Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya (Tirmidzi dan Ibn Maja)
Adalah
sunnah untuk mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang
yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa.
Doa Ketika Berbuka Puasa
Berdoa
ketika berbuka puasa adalah mustajab. Kita digalakkan untuk berdoa apa
sahaja yang kita ingini ketika menunggu waktu tersebut. Rasulullah s.a.w
bersabda
Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi. (Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban)
Rasulullah
s.a.w juga mengajarkan cara berdoa ketika berbuka puasa. Berikut adalah
doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi tuntutan
ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadis ini sebagai
hasan. Doa tersebut adalah:
ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى
Bermaksud: Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.
Marilah
sama-sama kita berpuasa sepertimana puasanya Rasulullah s.a.w dan para
sahabat yang mulia. Semoga puasa kita pada tahun ini mampu mengubah dimensi hidup
kita yang bercerminkan sunnah Rasulullah dalam beribadat.
Perbanyakkanlah membaca al-Quran dan berzikir, nasihat menasihati serta
berdakwah kepada Islam. Jadikan ramadhan kali ini penuh makna untuk diri
kita dan masyarakat. Wallahu A’lam.
- Mohammad Sufian TalibSumber : http://jejakitinggalanrasul.blogspot.com/2011/07/jom-puasa-macam-rasulullah-saw.html
No comments:
Post a Comment